BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 30, 2009

kisah Pemandu Teksi

Sebuah kisah benar yang dilalui oleh diriku yang agak jarang menaiki teksi untuk menuju ke mana-mana destinasi sekalipun. Pada 29 hb Ogos 2006, aku, Imran, Hisyam dan Akmal bercadang untuk ke Kedai Buku Kamal untuk melihat buku-buku perubatan yang diwara-warakan dijual dengan harga yang murah di sana. Setelah menyelesaikan urusan VISA di Wisma MCA dan bersarapan pagi di KLCC, kami semua menaiki teksi menuju ke Kedai Buku Kamal dengan menaiki teksi...

Ditakdirkan buat kali pertama bagi diriku menaiki teksi yang dipandu oleh warga Indonesia. Maka banyaklah persoalan yang berlegar di ruang legar kepala aku... Pemandu teksi ini ada permit ke tak? lesen? Aku banyak berdiam diri di dalam teksi manakala Imran, Akmal dan Hisyam pula banyak melontarkan soalan-soalan cepu emas, contohnya .. Uncle tinggal kat mana? Dah berkeluarga? Kahwin dengan orang Malaysia ke? Perasaan aku menjadi tidak tenang kerana aku merasakan soalan tersebut agak sensitif bagi warga Indonesia di Malaysia. Tetapi pemandu tersebut menjawab dengan tenang, antara jawapannya "Saya tinggal di Ampang", "Saya tinggal dengan keluarga" dan "Isteri saya orang Indonesia". Benar atau tidak aku pun tak tahu.

Tiba-tiba pemandu tersebut bertanya kepada kami semua, "Apakah perasaan kamu semua sebagai warga kampus ketika menaiki kenderaan?". Aku tergamam. Akmal menjawab, "Macam biasa jelah". Satu jawapan yang mungkin dipersetujui oleh aku, Imran dan Hisyam kerana itulah perasaan kami. Pemandu Indonesia tersebut berkata,"Bagi saya, ketika saya menaiki kenderaan seperti ini (kereta atau kenderaan berenjin), saya merasakan saya menaiki dua kenderaan secara serentak". Kami semua kebingungan. Pemandu tersebut menyambung, "Satu kenderaan yang sedang saya naiki dan satu lagi kenderaan bumi". "Kenderaan bumi?", salah seorang daripada kami bertanya. Pemandu tersebut menjawab, "Bumi kitakan sedang berputar pada paksinya dan beredar di dalam galaksi". Aku tergamam sekali lagi. Pemandu tersebut menyambung, "Jika kita memikirkan kejadian langit dan bumi, kitakan akan lebih dekat dengan Allah, gitu…". Tamat.

Jadi apakah pengajaran dan suri teladan yang boleh diambil? Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, daratan dan lautan terdapat tanda-tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. yang dapat dilihat oleh mereka yang mahu berfikir. Kita sering lupa dan alpa kerana kita buta dan leka dengan keseronokan dan kesibukan kehidupan dunia… sedangkan dunia ini hanyalah umpama ladang tempat bercucuk tanam supaya di akhirat nanti hasilnya boleh dituai. Bukalah mata hatimu…

1 comments:

'abdurrahman™ said...

yore pelajar perubatan :)